Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Polis tidak mengeluarkan permit kepada penganjur aktiviti belon udara panas membabitkan sebuah gabungan parti politik di Taman Tun Sambanthan, di sini bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, permit tidak dikeluarkan susulan hasil semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati pihak penganjur tidak mendapat kebenaran dan kelulusan aktiviti itu.

Katanya, pihaknya mengesan aktiviti belon udara itu pada pagi Jumaat lalu melalui rondaan berkala anggotanya dan mengarahkan penganjur merujuk perkara itu dengan polis terlebih dahulu.

"Memang penganjur cuba buat aktiviti itu (belon udara panas) pada pagi berkenaan tetapi mereka baru hantar permohonan permit kepada polis pada petang Jumaat.

"Bagaimanapun semakan kita dengan CAAM mendapati penganjur tidak memiliki kebenaran pihak berkuasa penerbangan itu sekali gus menyebabkan polis juga tidak meluluskan permohonan permit mereka dan mereka juga akur.

"Menurut CAAM, ruang udara di situ adalah kawasan latihan penerbangan justeru aktiviti belon udara boleh mendatangkan bahaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar serta video sejak Jumaat memaparkan belon udara panas dengan lambang Barisan Nasional (BN) cuba dinaikkan di satu kawasan lapang berturap berhampiran kawasan perumahan yang dikatakan di kawasan parkir berhadapan Pusat Konvensyen Sungai Siput di Taman Tun Sambanthan, di sini.

Bagaimanapun tinjauan pada pagi ini mendapati kawasan itu sudah dikosongkan dengan tiada aktiviti seumpama itu dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 11:51 AM
MOHD Khaizam mengesahkan pihaknya tidak mengeluarkan permit kepada penganjur khidmat menaiki belon udara panas yang dibuat sebuah gabungan parti politik di Taman Tun Sambanthan. FOTO TULAR
MOHD Khaizam mengesahkan pihaknya tidak mengeluarkan permit kepada penganjur khidmat menaiki belon udara panas yang dibuat sebuah gabungan parti politik di Taman Tun Sambanthan. FOTO TULAR