TONG yang mengandungi mayat lelaki yang disimen adik lelakinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
TONG yang mengandungi mayat lelaki yang disimen adik lelakinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa bunuh yang ditemui dalam tong air biru di tepi sebuah rumah di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar, semalam.

Perkara itu disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Beliau berkata, pihaknya dipanggil untuk khidmat khas membantu memotong tong yang disimen bagi mengeluarkan mayat berkenaan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Anggota bomba memotong tong bersimen itu menggunakan peralatan khas sebelum mayat berjaya dikeluarkan.

“Operasi dilakukan dengan berhati-hati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi yang dilakukan semalam membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar termasuk di lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi dilakukan sejurus pihaknya menerima panggilan pada 8.32 pagi.

“Anggota kami tiba pada 8.44 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati terdapat kes bunuh seperti yang dilaporkan namun kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian pada 7 pagi semalam, sebuah tong air biru yang disimen dipercayai mengandungi mayat seorang lelaki berusia 34 tahun yang dibunuh adiknya sendiri ditemui di tepi sebuah rumah Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar.

Berikutan itu, polis menahan adik mangsa yang juga suspek kejadian itu berusia 25 tahun untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Suspek bunuh dan simen direman 7 hari

Bomba bantu polis kes simen mayat abang [METROTV]

'Mereka selalu bertengkar...' - Adik

Bunuh, simen mayat abang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 1:27 PM