Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA bomba turut membantu khidmat khas mangsa bunuh yang ditemui dalam tong biru yang disimen di tepi rumah Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, di Alor Setar, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Azrul Musa, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena.

Beliau berkata, operasi disertai lapan anggota dari BBP Pokok Sena sebaik menerima panggilan 8.32 pagi.

“Anggota kami tiba jam 8.44 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati terdapat kes bunuh seperti yang dilaporkan.

“Bagaimanapun kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar mengakui terkejut dengan penemuan mayat mangsa malah tidak menyangka ia akan berlaku di kampung mereka.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, dia jarang bertemu dengan mangsa tetapi kerap bertemu suspek.

“Saya tak sangka, suspek seorang yang baik sebab dia berniaga ayam goreng malah kalau berbual dengannya pun, dia ramah.

“Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini dan biarlah polis selesaikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian 7 pagi tadi, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis selepas disyaki membunuh abangnya berusia 34 tahun dengan sebilah parang.

Kejadian dipercayai berlaku pada petang Jumaat lalu menyebabkan suspek bertindak menyumbat mayat abangnya ke dalam tong air biru sebelum menyimen tong berkenaan.

Suspek kemudian memaklumkan perbuatannya itu kepada seorang lagi abangnya yang melaporkan insiden itu kepada polis.

Berita berkaitan

Bunuh, simen mayat abang [METROTV]

'Mereka selalu bertengkar...' - Adik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 3:02 PM
ANGGOTA polis menjalankan siasatan penemuan mayat remaja lelaki disimen dalam tong plastik di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA polis menjalankan siasatan penemuan mayat remaja lelaki disimen dalam tong plastik di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli