POLIS menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki yang disimen. FOTO Zuliaty Zulkiffli
POLIS menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki yang disimen. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA terkejut dan tak sangka abang jadi pembunuh kerana dia seorang yang baik dan berpendidikan agama.

“Saya tidak tahu apa punca menyebabkan dia membunuh abang tiri sebelum bertindak memasukkan mayat ke dalam tong dan menyimen,” kata Mohd Nazir Azami, 24.

Dalam kejadian 7 pagi itu, polis menahan lelaki yang dipercayai adik kepada si mati berusia 34 tahun dan menemui mayat mangsa di dalam tong air biru di tepi rumah di Kampung Padang Hassan, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian hanya mereka berdua tinggal di rumah itu kerana ibu mereka, Jah Chik, 50-an dan seorang lagi adik ke Melaka kerana mempunyai urusan.

Katanya, abangnya iaitu mangsa (si mati) sebelum ini pernah menjalani pemulihan akibat dadah manakala suspek pula bekerja sebagai peniaga ayam.

Katanya, si mati adalah abang seibu dengan mereka tetapi berlainan bapa manakala suspek pula adalah abang kandungnya.

“Mereka selalu juga bertengkar tetapi biasanya mangsa yang mulakan dulu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Hassan, Rahanah Ismail berkata, semalam suspek ada menghantar tempahan ayam goreng kepadanya tetapi dia kelihatan biasa saja.

Katanya, dia mengenali suspek seorang yang sangat baik tetapi tak sangka kejadian itu berlaku.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada kes pembunuhan di kampung ini dan bertemu dengan suspek seperti biasa walaupun kejadian bunuh itu berlaku sejak Jumaat lalu,” katanya.

Berita berkaitan

Bunuh, simen mayat abang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 12:59 PM