ANTARA cermin mata yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP Pahang.
ANTARA cermin mata yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP Pahang.
Roselan Ab Malek


SEBANYAK 316 cermin mata bernilai RM95,120 disita dalam serbuan menerusi Ops Jeriji di dua premis di sebuah pusat beli belah di Temerloh, semalam.

Serbuan pada 11.30 pagi itu disertai pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh dengan hasil kerjasama wakil cap dagang.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, siasatan mendapati dua premis terbabit menjual cermin mata jenama terkenal disyaki tiruan pada harga RM466 setiap satu.

“Itu modus operandi dilakukan dua premis berkenaan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Ia juga kes pertama membabitkan kesalahan menggunakan cap dagangan palsu di Pahang tahun ini.

“Seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 34 dan 28 tahun ditahan dalam serbuan itu,” katanya.

Turut hadir Ketua Cawangan KPDNHEP Temerloh, Abdul Razak Yahaya.

Ahmad Fitri berkata, dua individu terbabit direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, mereka disyaki mempunyai dalam milikannya bagi maksud perdagangan iaitu memakaikan dengan salah cap Dagangan berdaftar pada barang kes cermin mata berkenaan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dan tidak melebihi RM15,000 setiap barangan bagi pertubuhan perbadanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna yang ragu-ragu dengan ketulenan sesuatu produk supaya segera membuat aduan di cawangan KPDNHEP berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:51 PM