PAKAIAN sukan jenama popular tiruan yang dirampas semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Kuala Kangsar.
PAKAIAN sukan jenama popular tiruan yang dirampas semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Kuala Kangsar.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Pakaian sukan jenama popular tiruan bernilai RM60,500 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil serbuan ke stor di Kuala Kangsar Prima, di sini, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, operasi dijalankan pada 11 pagi hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan itu secara dalam talian.

Beliau berkata, operasi membabitkan tujuh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Kangsar bersama wakil pemilik cap dagang itu menemukan pakaian sukan berjenama tiruan antaranya Adidas, Levi's dan Nike disimpan di stor itu.

"Pakaian terbabit diiklankan di dalam talian pada harga lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

"Pakaian itu dibekalkan pembekal dari Lembah Klang yang mengimportnya dari luar negara dan ia disita untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perniagaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 31 tahun yang dipercayai menjalankan perniagaan itu bersama suaminya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan, barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 8:15 PM