KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah premis di Taman Prima Selayang, Batu Caves yang disyaki dijadikan sebagai tempat simpanan barang penjagaan diri tiruan, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP SELANGOR
KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah premis di Taman Prima Selayang, Batu Caves yang disyaki dijadikan sebagai tempat simpanan barang penjagaan diri tiruan, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Sebuah premis di Taman Prima Selayang, Batu Caves yang disyaki dijadikan sebagai tempat simpanan barang penjagaan diri tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan itu dilakukan pada 10 pagi hasil aduan dan pengesahan awal daripada wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, jenis barang penjagaan diri tiruan itu adalah losen dan minyak wangi.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, premis itu didapati dijadikan tempat penyimpanan barangan dan ia disimpan untuk tujuan perdagangan.

"Hasil pengesahan dan pengecaman awal mendapati barangan terbabit disyaki menggunakan cap dagang tanpa kebenaran pemilik cap dagang berdaftar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuhairi berkata, pihaknya menyita semua barangan membabitkan losen dan minyak wangi dengan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM13,350.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat semasa serbuan ekoran premis terbabit tidak berpenghuni.

"KPDNHEP Selangor akan meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pelanggaran di bawah perlindungan harta intelek.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut seksyen dan Akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP khususnya mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:11 PM