DATUK Iskandar Halim Sulaiman. FOTO Hazreen Mohamad.
DATUK Iskandar Halim Sulaiman. FOTO Hazreen Mohamad.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian melalui satu operasi yang dijalankan di sebuah kediaman di Taman Cheras Jaya di Balakong, Selangor pada Selasa lalu.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas pelbagai baju dan seluar jenama terkenal yang disyaki tiruan dengan nilai dianggarkan RM67,750.

"Modus operandi peniaga ini ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga lebih murah daripada pasaran bagi menarik perhatian pembeli di tapak pasar dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata, pengadu yang juga wakil pemilik cap dagang berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran barangan tiruan itu selepas membuat pesanan dalam talian menerusi alamat peniaga yang tertera pada bungkusan yang dikirimkan.

"Rentetan daripada urus niaga itu, pengadu membuat perbandingan dengan pakaian jenama yang asli. Setelah mengenal pasti pakaian yang dibeli adalah tiruan, pengadu membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan yang selanjutnya," katanya.

Iskandar Halim berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 2:06 PM