Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menunjukkan pakaian berjenama tiruan yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menunjukkan pakaian berjenama tiruan yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Tawar pelbagai pakaian berjenama import tiruan yang memiliki gred 'tinggi' kepada pelanggan melalui jualan e-dagang.

Itu taktik digunakan peniaga barangan berjenama tiruan yang beroperasi di dua premis termasuk kediaman di Bandar Baru Enstek, di sini.

Bagaimanapun kegiatan peniaga berusia 40 tahun yang juga rakyat tempatan terbongkar apabila kedua-dua premis berkenaan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, petang kelmarin.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata, serbuan dilakukan selepas premis itu dikesan dijadikan sebagai stor penyimpanan barang tiruan untuk tujuan perdagangan.

Katanya, seramai lapan anggota penguat kuasa KPDNHEP melaksanakan operasi itu hasil daripada pemantauan dan risikan selama seminggu termasuk daripada pihak pengadu cap dagangan berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua premis terbabit dimiliki seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang juga pemilik perniagaan berdaftar.

"Pemeriksaan lanjut di premis kediaman menemui sebanyak 600 unit pakaian pelbagai jenama yang disyaki adalah tiruan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM6,000.

"Manakala serbuan di premis perniagaan pula menemui 2,025 unit pakaian pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM20,250," katanya.

Beliau berkata, kesemua barangan berkenaan disita di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 5:53 PM