GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Empat premis yang dijadikan stor penyimpanan minyak wangi disyaki tiruan diserbu dan tiga individu ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Serbuan Op Jeriji 3.0 dilakukan selepas menerima aduan daripada syarikat wakil cap dagang jenama terkenal minyak wangi, tablet dan aksesori telefon mengenai kewujudan tempat penyimpanan untuk penjualan barangan tiruan.

Bertindak atas laporan itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata, sepasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di beberapa premis sekitar ibu kota.

"Hasil pemeriksaan, empat premis menyimpan minyak wangi tiruan berjaya dikesan. Barangan tiruan itu disahkan oleh syarikat cap dagangan yang dipakai.

"Kita turut menahan tiga pekerja warga asing dan merampas 24,868 unit minyak wangi tiruan yang dianggarkan bernilai RM544,579," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan tiruan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, sejak Januari sehingga September ini, sejumlah 155,891 unit barangan tiruan menggunakan pelbagai jenama terkenal dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur membabitkan nilai rampasan RM3,911,851.77 selain menahan 31 individu terdiri daripada 17 warga tempatan dan 14 warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:32 PM