REMAJA ditahan di rumahnya, Kampung Perigi. FOTO IHSAN AADK
REMAJA ditahan di rumahnya, Kampung Perigi. FOTO IHSAN AADK
Nor Farhani Che Ad


SELEPAS dua tahun menyembunyikan ketagihan dadah daripada pengetahuan keluarga, seorang remaja lelaki 16 tahun akhirnya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Remaja berkenaan ditahan di rumahnya di Kampung Perigi, Yan dalam operasi bermula 10.30 pagi hasil maklumat awam.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, ketika serbuan, remaja yang tidak bersekolah itu sedang tidur sebelum dikejutkan oleh kakaknya.

“Remaja terbabit terkejut melihat kehadiran anggota AADK di rumahnya memandangkan sebelum ini dia tidak pernah ditahan.

“Difahamkan, dia menjadikan rumah rakan-rakannya sebagai lokasi melepaskan gian menyebabkan ahli keluarga tidak mengetahui aktiviti penagihan dadahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, remaja berkenaan dibawa ke pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai penagih dadah di Kampung Keda Sungai Udang, Yan.

“Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:01 PM