WANITA ditahan dalam serbuan di sebuah rumah. FOTO Ihsan AADK.
WANITA ditahan dalam serbuan di sebuah rumah. FOTO Ihsan AADK.
Nor Farhani Che Ad


RAYUAN dan tangisan seorang wanita yang juga penagih tegar supaya tidak ditangkap langsung tidak ‘mencairkan’ hati anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sebaliknya, wanita berusia 28 tahun yang mempunyai masing-masing dua rekod pusat pemulihan dan penjara ditahan di rumahnya di Kampung Raga, Yan pada 9.30 pagi hari ini.

Lebih mengejutkan, siasatan AADK mendapati wanita ini sering membawa anak lelakinya berusia empat tahun untuk mendapatkan bekalan dadah.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai serta risikan yang dilakukan pihaknya.

“Ketika anggota penguat kuasa tiba di rumah wanita itu, dia berada di bawah rumah bersama anak lelakinya.

“Wanita itu merayu sambil menangis supaya tidak ditangkap, namun selepas dipujuk dia memberi kerjasama sebelum dia dibawa ke pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, ujian saringan air kencing mendapati wanita terbabit positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

Beliau berkata, anak lelakinya diserahkan kepada keluarga terdekat hasil perbincangan bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:45 PM