SEBAHAGIAN daripada 26 individu yang ditahan AADK di port dadah di Kampung Kuala Sala. IHSAN AADK
SEBAHAGIAN daripada 26 individu yang ditahan AADK di port dadah di Kampung Kuala Sala. IHSAN AADK
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang juga anak bilal bagaikan tidak serik apabila sekali lagi ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sarang penagih dadah di Kampung Kuala Sala, Yan.

Lelaki 30-an itu pernah ditahan di lokasi sama oleh AADK yang menyerbu 'port' di laluan tepi laut itu.

Dia antara 26 lelaki yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam serbuan kira-kira 9 pagi semalam.

Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias, berkata dalam operasi enam jam itu, 26 individu berusia 19 hingga 60 tahun disyaki penagih ditahan di kawasan terbabit yang rata-ratanya bekerja sendiri dan penganggur.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mengesahkan 21 positif dadah jenis opiat dan methamphetamine termasuk anak bilal.

“Semua 21 individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 manakala empat individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahadzir berkata, sebahagian besar penagih yang ditahan datang dari luar daerah ini dan masuk ke 'port' berkenaan bersama bekalan dadah untuk melepaskan gian mereka.

“Walaupun kerap diserbu, kawasan itu masih aktif dan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk penagih melepaskan gian berikutan lokasi yang santai dan mempunyai pilihan melarikan diri.

“Kampung Kuala Sala popular dan menjadi tumpuan penagih dadah dari Kuala Kedah untuk mendapatkan bekalan.

“AADK mengharapkan kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras penagihan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:04 PM