KOLAM Hutan Rekreasi Ulu Bendul dibuka semula kepada pengunjung selepas disahkan tiada kes babitkan penyakit kencing tikus. FOTO Ihsan Pembaca
KOLAM Hutan Rekreasi Ulu Bendul dibuka semula kepada pengunjung selepas disahkan tiada kes babitkan penyakit kencing tikus. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan tiada kejadian membabitkan kes leptospirosis atau kencing tikus berlaku di kawasan Hutan Rekreasi Ulu Bendul di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Mohd Faizal Abdul Manap, berkata perkara itu disahkan oleh JKNNS kepada pihaknya.

"Hasil pemeriksaan dan ujian pengesahan serta penilaian risiko berpandukan sampel persekitaran dilakukan JKNNS mendapati tiada kes membabitkan penyakit kencing tikus di Ulu Bendul.

"Beberapa individu dan pengunjung yang sebelum ini disyaki terkena penyakit itu dipercayai mengalami demam biasa dan bukannya kencing tikus.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan JKNNS masih meneruskan siasatan dan analisa mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kolam mandi Hutan Rekreasi Ulu Bendul yang diselia di bawah MDKP ditutup sementara selama tiga hari mulai Jumaat hingga Ahad lalu bagi tujuan kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Penutupan itu dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit atas nasihat JKNNS susulan laporan dikatakan berlakunya penularan wabak Covid-19, rotavirus dan leptospirosis atau kencing tikus di lokasi berkenaan.

Mohd Faizal yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata, kawasan rekreasi itu sudah dibuka semula kepada orang awam mulai semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyedari keperluan peniaga kecil di situ untuk meneruskan perniagaan mereka selepas sekian lama terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa untuk memastikan lokasi terbabit selamat dan boleh dikunjungi orang ramai.

"Setakat ini saya tidak menerima apa-apa laporan mengenai ada jangkitan terbaru kes berkenaan berlaku di Ulu Bendul dan jika didapati berlaku sebarang kes, kita akan menutup semula kawasan berkenaan atas nasihat pihak kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 9:28 PM