Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Rabiul Zulkifli


JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan hanya seorang lelaki yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum ini dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarahnya Dr Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan keputusan ujian makmal yang diperoleh, hanya seorang positif rapid test leptospirosis dan tiga pesakit lagi negatif.

"Ketiga-tiga individu berusia antara 30 hingga 32 yang berasal dari Dungun dibenarkan pulang selepas empat hari menerima rawatan," katanya hari ini.

Beliau menasihati orang ramai yang melakukan aktiviti rekreasi air terjun supaya berhati-hati selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mengehadkan pergerakan ke kawasan air terjun.

Katanya, lokasi itu yang sudah lama tidak dikunjungi berisiko tinggi kepada penyakit jangkitan air.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki meninggal dan tiga individu berusia 30 hingga 32 dari Dungun dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana disyaki kencing tikus.

Semua pesakit mempunyai sejarah ke Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut, menunjukkan gejala menyerupai leptospirosis seperti demam, sakit sendi, sakit otot, cirit-birit dan muntah.

Berita berkaitan:

  • 1 meninggal dunia, 2 dirawat disyaki dijangkiti kencing tikus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 11:21 AM