BERNAMA

AIR Terjun Gunung Pulai 1 di Kulai, Johor, ditutup selama dua minggu mulai hari ini hingga 1 Jun susulan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, penutupan itu disebabkan persekitaran yang kotor dan membolehkan penyiasatan lanjut dilakukan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengarahkan supaya air terjun berkenaan ditutup selama dua minggu mulai 5 petang ini. Sampel air terjun itu telah diambil, namun keputusan sampel air itu belum diperoleh," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayub berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya mewartakan Gunung Pulai 1 sebagai Taman Negara Johor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekali gus menangani masalah persekitaran yang kotor.

Beliau menasihati pengunjung air terjun atau pusat rekreasi lain sekitar bulan lalu dan bulan ini, mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital, terutama yang mengalami sakit perut, selsema, demam dan lemah anggota badan.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berumur 18 tahun yang meninggal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa dari Pekan Nenas, Pontian disahkan meninggal setelah tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi HSA selepas mengunjungi Air Terjun Gunung Pulai bulan lalu, dan awalnya mengalami sakit perut, selsema, demam selama tiga hari serta lemah anggota badan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti pergerakan lelaki itu sebelum dia dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:55 PM