Alor Setar: Jabatan Kesihatan Kedah menutup serta-merta sebuah chalet di Yan, dekat sini, untuk siasatan sekali gus membolehkan pengurusan premis itu mengambil tindakan termasuk melakukan pembersihan berikutan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun kerana dijangkiti Leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, penutupan itu dilakukan mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akan dibuka semula jika pengurusan chalet berkenaan mematuhi arahan ditetapkan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan semalam mendapati lima chalet itu mempunyai kolam mandi dengan dua daripadanya menerima air yang disalurkan dari Sungai Yan Besar, manakala tiga kolam lagi menerima punca air daripada kolam masyarakat Kampung Sungai Raga.

“Hasil siasatan mendapati tiga beradik termasuk mangsa yang disahkan mengalami leptospirosis itu mandi di dalam kolam chalet yang disalurkan dari Sungai Yan Besar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Norhizan mengetuai lawatan bersama pasukan kawalan penyakit dan jurutera jabatan itu, Pegawai Kesihatan Daerah Yan, Pegawai Daerah Yan dan Pegawai Lembaga Sumber Air Negeri ke kawasan terbabit untuk melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, Bahagian Kejuruteraan Jabatan Kesihatan Kedah dan Lembaga Sumber Air Negeri akan membantu pengusaha chalet berkenaan untuk mengkaji semula pengurusan kelima-lima kolam berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan leptospirosis dengan menjalani proses pengklorinan.

Katanya, chalet berkenaan hanya akan dibuka sekiranya pengusaha mematuhi cadangan sistem pengklorinan yang dipersetujui.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, hasil ujian makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur ke atas sampel darah ketiga-tiga beradik itu termasuk mangsa yang diterima kelmarin mengesahkan mereka dijangkiti penyakit leptospirosis.

Menurutnya, setakat ini keadaan dua beradik yang masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, menunjukkan perkembangan positif dan semakin pulih.

“Ibu bapa mereka hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di HSB kerana mengalami demam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Rawatan antibiotik turut diberikan kepada ibu bapa mereka berdasarkan ujian awal makmal menunjukkan kemungkinan dijangkiti leptospirosis, dan sampel darah mereka sudah dihantar ke IMR untuk pengesahan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia pada 5 Disember akibat menghidap penyakit kencing tikus selepas didakwa mengunjungi sebuah chalet di Yan pada 20 November lalu.

Dua adiknya berusia dua dan lima tahun turut dimasukkan ke wad kanak-kanak di hospital sama pada 6 Disember lalu selepas menunjukkan terdapat simpton menghidap leptospirosis pada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 9:05 AM