Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Perhutanan Negeri Johor mendapati dua lelaki yang sesat ketika mendaki Gunung Pulai di Kulai, kelmarin menggunakan laluan tidak rasmi (lorong tikus).

Pengarahnya, Datuk Salim Aman berkata, trek rasmi masih ditutup disebabkan Johor masih lagi berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya mengikut Proseder Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kawasan Taman Eko-Rimba termasuk trek pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal hanya dibuka dalam PPN fasa tiga.

"Jabatan memandang serius kes pendakian sesat tersebut kerana memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran atau permit memasuki Hutan Simpanan Kekal yang menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya denda dan penjara," katanya dalam satu kenyatan di sini, hari ini.

Menurut Salim, semua Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan trek pendakian serta mana mana Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini masih belum dibuka kepada pengunjung awam bagi sebarang aktiviti eko pelancongan.

"Semua aktiviti yang terlibat di kawasan Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal di Johor hanya dibenarkan pada PPN fasa tiga.

"Pihak Jabatan juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 serta sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu pada ketika ini," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 10:39 AM