KERETA Perodua Myvi yang dirampas daripada dua suspek kes pecah kereta sekitar Negeri Sembilan dan tiga negeri lain. STR/ABNOR HAMIZAM
KERETA Perodua Myvi yang dirampas daripada dua suspek kes pecah kereta sekitar Negeri Sembilan dan tiga negeri lain. STR/ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


KELICIKAN dua lelaki warga asing menjalankan kegiatan pecah kereta di sekitar Negeri Sembilan termasuk di daerah Jempol berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek warganegara Indonesia itu turut dikenali sebagai kumpulan Indra Garuda.

Beliau berkata, suspek berusia 33 dan 39 tahun itu bergiat aktif melakukan kegiatan pecah kereta sejak Januari tahun lalu.

“Dalam kejadian di Masjid Tuanku Muhriz pada 25 Januari lalu, suspek memecah pintu kereta seorang mangsa dan melarikan beg tangan dengan kereta Perodua Myvi disewa suspek bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Mangsa sempat mengecam nombor pendaftaran kereta digunakan suspek sebelum polis menjalankan gerakan memburu suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis ( IPD ) Jempol, hari ini.

 KETUA Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif
KETUA Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif

Mohd Khairiel berkata, pada 27 Januari lalu, polis yang menerima maklumat awam membuat serbuan ke atas suspek di rumah di Kampung Kundur Ulu, Pedas dan berjaya menangkap kedua-dua suspek berkenaan.

Beliau berkata, polis merampas sebuah kereta, telefon bimbit, jam tangan, wang tunai serta dua batang besi daripada suspek.

“Kumpulan ini menggunakan peralatan besi sudah diubah suai untuk membuka pintu kereta dan memecahkan cermin kereta menggunakan serpihan plak jika pintu tidak dapat dibuka.

“Mereka bergerak aktif pada siang hari terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum dengan menjadikan kawasan tempat letak kereta hentian rehat dan rawat, masjid dan kenduri kahwin sebagai sasaran.

“Ketika ketika soal siasat suspek turut mengaku terbabit dalam kegiatan itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang,” katanya.

Mohd Khairiel berkata, kes berkenaan disiasat Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek kini diserahkan kepada IPD daerah lain bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 4:28 PM