KETUA Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif ( tengah) dan Timbalannya Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor ( kiri ) menunjukkan barang lusuh dalam sebuah lori yang dirampas daripada kumpulan pecah kedai dan curi sekitar Jempol pada sidang media di IPD Jempol. FOTO Abnor Hamizam
KETUA Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif ( tengah) dan Timbalannya Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor ( kiri ) menunjukkan barang lusuh dalam sebuah lori yang dirampas daripada kumpulan pecah kedai dan curi sekitar Jempol pada sidang media di IPD Jempol. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS Jempol berjaya menumpaskan kumpulan pecah kedai dan curi yang bergiat aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, kumpulan itu dianggotai lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 47 tahun.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai melakukan pecah kedai dan curi di 10 gerai Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

"Kumpulan ini menyasarkan gerai MPJL berikutan peniaga tidak berniaga kerana berada di rumah sepanjang PKP dan kesempatan itu digunakan untuk memecah kedai dan curi dari tengah malam sehingga awal pagi.

"Mereka mencuri apa sahaja barang boleh dijual semula kepada peniaga kecil dan premis besi buruk termasuk 20 kilogram daging sejuk beku dari sebuah gerai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor.

Mohd Khairiel berkata, semua suspek ditangkap di sekitar Jempol secara berasingan dalam tempoh 24 jam bermula 4 Mei lalu.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai barang antaranya monitor komputer, unit pemprosesan pusat (CPU), tong gas, makanan dalam tin, sebuah lori satu tan dan peralatan digunakan bagi pecah kedai iaitu pemutar skru dan pemotong besi.

"Hasil semakan dua suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah manakala suspek wanita mempunyai satu rekod jenayah berkaitan culik, samun berkawan, ugutan jenayah, mencuri dan dadah.

"Jumlah keseluruhan barangan dirampas dianggarkan RM30,000 dan semua suspek direman bermula 5 Mei sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 3:32 PM