Tokan dan penagih ditahan polis dalam op sarang di ladang kelapa sawit di FELDA Lui Timur. FOTO ABNOR HAMIZAM
Tokan dan penagih ditahan polis dalam op sarang di ladang kelapa sawit di FELDA Lui Timur. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


SUAMI isteri antara tokan dan penagih dadah ditangkap polis dalam operasi khas di ladang kelapa sawit di FELDA Lui Timur, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, polis menyerbu lokasi dikenali Kebun Devan yang dijadikan tempat mengedar dan penagihan dadah pada 4 petang.

Beliau berkata, dua tokan dan empat penagih berusia 32 hingga 52 tahun termasuk suami isteri ditangkap dalam serbuan itu.

” Seorang suspek pengedar adalah suami kepada wanita yang menjadi penagih dan semua suspek berasal dari FELDA Lui Timur dan FELDA Lui Selatan.

“Suami isteri itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, malah tidak serik mengulangi kegiatan biarpun sudah beberapa kali menjalani hukuman,” katanya.

Mohd Khairiel berkata, polis merampas 33.51 gram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM1,340 daripada dua tokan terbabit.

Katanya, ujian air kencing terhadap semua suspek didapati positif dadah jenis morpin.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Biarpun ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, polis akan terus menjalankan operasi dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:16 PM