Pasukan petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sudah memulakan operasi bilik sekretariat untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan. Foto Ihsan Kedutaan Besar Malaysia
Pasukan petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sudah memulakan operasi bilik sekretariat untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan. Foto Ihsan Kedutaan Besar Malaysia
BERNAMA

PASUKAN petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing mulakan operasi bilik sekretariat di Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak koronavirus baharu di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan pada malam tadi berkata, tugasan pasukan itu semalam ialah terus mengemas kini maklumat logistik dan juga memurnikan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan.

“Usaha-usaha perbincangan lanjut juga dibuat bersama-sama Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses terbabit,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, rakyat Malaysia di Wuhan memberi maklum balas dan kerjasama yang baik selain pasukan berkenaan menerima sokongan baik daripada Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan.

Dalam pada itu, Nushirwan memaklumkan 141 orang terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 orang lagi yang merupakan pasangan serta anak mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan semalam menyatakan seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan hari ini, berikutan penularan koronavirus baharu.

Dr Wan Azizah berkata, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 12:17 AM