Ekhwan Haque Fazlul Haque


LIMA sekatan jalan raya dan 17 jam perjalanan darat terpaksa ditempuh pasukan peninjau dari Beijing ke Wuhan dalam misi mengumpul dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di bandar yang bermulanya penularan wabak koronavirus baharu.

Bukan itu saja, pasukan itu hanya mempunyai masa terhad untuk membuka sekretariat, mengagihkan bekalan makanan, mendapatkan pelepasan penerbangan pesawat, menguruskan pasport dan memastikan semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan mendapat akses perjalanan di jalan raya daripada pihak berkuasa rentetan perintah berkurung dikeluarkan kerajaan China.

Enam ahli pasukan peninjau layak digelar wira itu terdiri daripada Menteri Penasihat Kedutaan yang juga Ketua Delegasi Samsul Kahar Kamarudin dibantu Nik Mazaid Nik Man (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), Ibrahim Jack (Jabatan Imigresen Malaysia), Nur Zaitie Suhana Zakaria (Setiausaha Pertama), Jason Choy Min Sheng (Setiausaha Pertama Pendidikan) dan Mohd Syahmi Md Yusoff (Polis Diraja Malaysia).

Kecekapan dan komitmen jitu keenam-enam ahli pasukan peninjau yang dipilih sendiri Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin bagi melaksanakan misi getir yang jelas merisikokan diri sendiri kepada jangkitan yang boleh membawa kematian itu bagaimanapun dilaksanakan dengan jayanya.

Berkongsi cabaran itu, Samsul Kahar berkata, dia dan lima lagi ahli pasukannya yang dipilih sendiri Nushirwan mengakui perasaan bercampur baur antara bimbang dan tanggungjawab kepada negara kerana tidak mengetahui secara jelas situasi sebenar di Wuhan.

Menurutnya, di sebalik kebimbangan itu, pasukan peninjau tetap bersemangat untuk menggalas tanggungjawab demi keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan China secara keseluruhannya.

“Kami anggap mereka (rakyat Malaysia) seperti saudara sendiri walaupun wujud kebimbangan dalam diri untuk berdepan dengan ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

PASUKAN peninjau berada dalam pesawat AirAsia ketika penerbangan pulang ke tanah air.
PASUKAN peninjau berada dalam pesawat AirAsia ketika penerbangan pulang ke tanah air.

“Walaupun kepenatan dan masa tidur terhad, pasukan peninjau memiliki ketahanan mental yang tinggi kerana dalam tempoh singkat keputusan segera perlu dibuat untuk menjayakan misi,” katanya kepada Metro Ahad di Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut, Samsul Kahar berkata, misi menyelamat itu bermula jam 10.30 pagi, 1 Februari lalu dengan menaiki tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Beijing ke Wuhan.

“Kami terpaksa tempuh perjalanan sejauh 1,200 kilometer dan mengambil masa selama 17 jam untuk tiba di Wuhan. Mod pengangkutan darat saja yang dibenarkan di wilayah Hubei termasuk Wuhan.

“Untuk sampai ke Wuhan, lima sekatan jalan raya dan pemeriksaan sekuriti ketat perlu dilepasi. Cuaca pula sangat sejuk dengan di bawah tiga hingga lapan darjah Celsius cukup menguji ketahanan fizikal kami semua,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di Wuhan, pasukannya hanya berehat selama empat jam saja sebelum membuka sekretariat ataupun bilik operasi.

“Kami bawa tiga kenderaan, dua dinaiki pasukan manakala satu MPV diisi dengan makanan, minuman dan dokumentasi. Selepas sekretariat dibuka, kami mula menghubungi semua rakyat Malaysia di Wuhan memaklumkan kehadiran pasukan yang akan menyelaraskan pergerakan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat khas.

“Berpusu-pusu rakyat Malaysia datang ke sekretariat untuk mendaftarkan diri. Alhamdulillah, kerjasama baik mereka (rakyat Malaysia) di Wuhan menjayakan misi membawa pulang 107 individu terdiri daripada 87 rakyat Malaysia dan 20 bukan warga negara,” katanya.

Menurutnya, debaran amat kuat terasa ketika dia dan pasukannya menguruskan rakyat Malaysia daripada hotel ataupun rumah masing-masing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe di Wuhan kerana tanpa kebenaran atau kelulusan mereka tidak boleh berada di jalan raya.

“Kerjasama baik daripada kerajaan China akhirnya menjayakan misi itu. Penerbangan pulang jam 1.10 pagi dari Wuhan mengakhiri misi penuh getir itu. Tahniah kepada ahli pasukan yang memang bekerja keras sepanjang misi.

“Terima kasih juga kepada duta yang memberi kepercayaan kepada kami untuk menjayakan misi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 10:11 AM