Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama rakan strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya. Foto Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama rakan strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya. Foto Mohd Fadli Hamzah
Mohd Anwar Patho Rohman dan Noor Atiqah Sulaiman

TUN Dr Mahathir Mohamad menganggap belum ada keperluan bagi Putrajaya untuk menyekat kemasukan semua pesawat dari China mendarat di negara ini bagi mengawal penularan Novel Koronavirus (nCoV).

Namun Perdana Menteri menegaskan kajian boleh dilakukan sama ada perlu atau tidak untuk menyekat semua pesawat sama ada dari Wuhan dan Hubei atau dari China ke Malaysia.

"Belum ada keperluan. Kita buat kajian sama ada boleh hentikan semua pesawat dari China atau cuma dari Wuhan dan Hubei," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Perdana Menteri mengulas adakah Pusat akan mengikut langkah kerajaan Sabah hari ini mula menyekat semua penerbangan dari China bagi mencegah penularan nCoV.

Sarawak pula membuat keputusan menyekat kemasukan pekerja dan pelajar dari China hari ini.

Dr Mahathir turut mengesahkan kerajaan sedang berbincang dengan kerajaan China untuk membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan.

"Kita baru mula bincang, belum dapat maklum balas lagi (dari China)," katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, Perdana Menteri mahu rakyat menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama yang digariskan kerajaan untuk mengurangkan jurang kekayaan golongan kaya dan miskin.

"Sambutan rakyat perlu ada. Kalau ada dasar yang baik tetapi mereka tidak terima atau salah guna peluang yang disediakan, sudah tentu rancangan yang diwujudkan tidak berjaya," katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang mendapat peluang dan bantuan daripada kerajaan seperti kontrak dan lesen permit import (AP) selepas ini supaya tidak menjual kepada pihak lain.

Jelas beliau, ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dulu banyak pihak yang menerima peluang dan bantuan tetapi ada yang menyalahgunakannya.

"Kita tahu ada yang dapat kontrak, tapi mereka jual. Ada yang dapat peluang dan bantuan dari kerajaan tetapi cari jalan mudah jual kepada pihak lain. Bila wang mereka habis, mereka terus jadi miskin seperti dulu.

"Sebab itu kali ini kita hendak pastikan segala peluang, kontrak termasuk AP yang diberikan akan digunakan secara tersusun dan tertib.

"Kalau kita dapat tahu ada yang jual peluang diberikan, kita akan tarik balik seperti kontrak, lesen dan AP. Itu adalah antara cara yang menghalang kejayaan dasar kerajaan," katanya.

Perdana Menteri turut meminta penduduk luar bandar menyokong usaha kerajaan mencantumkan tanah kecil untuk dijadikan tanah pertanian berskala besar.

"Saya harap kita terima dasar kerajaan mahu cantumkan tanah kecil supaya dapat diuruskan oleh pakar yang terlatih dalam pertanian sebagai pengurus ladang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 5:57 PM