MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melihat skrin Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Semua penumpang pesawat yang tiba di KLIA akan melalui lorong yang dilengkapi kamera thermal bagi mengesan suhu badan dan mereka yang mempunyai simptom demam itu akan dirujuk kepada Pusat Kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di KLIA2. FOTO Luqman Hakim Zubir

Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan terhadap seramai 164,692 pengembara yang tiba di negara ini di semua pintu masuk antarabangsa.

Jumlah disaring bagi Koronavirus Baharu (2019-nCoV) itu adalah bagi tempoh sejak 1 Januari hingga 3 petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai sembilan pengembara sudah dirujuk untuk pemeriksaan lebih lanjut.

“Namun, semua pengembara itu didapati tidak memenuhi kriteria pesakit dalam siasatan (PUI) 2019-nCoV sebagaimana ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus 2019-nCoV No 02/2020.

“Pengembara itu dibekalkan dengan kad amaran kesihatan.

“Sekiranya gejala dialami semakin serius, pengembara berkenaan perlulah mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di kaunter menempatkan mesin pengimbas terma suhu badan dikendalikan pegawai kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli dan Pegawai Kesihatan KLIA & klia2 Dr Harishah Talib.

Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah meminta disegerakan penambahan 12 lagi mesin pengimbas terma suhu badan.

Beliau berkata, ketika ini, KKM memiliki 54 mesin pengimbas terma suhu badan di seluruh negara.

“Perolehan untuk menambah mesin itu sudah pun dibuat, sepatutnya tidak perlu ditangguhkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 2:23 PM