MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) melihat skrin Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) melihat skrin Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
Amir Abd Hamid


“MASALAH viral (tular) juga memeningkan, selain masalah virus ini.

“Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan laporan berita palsu yang boleh menimbulkan ketakutan serta kebimbangan,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas pelbagai tular belum sahih yang berlegar di media sosial mengenai Koronavirus Baharu (2019-nCoV).

Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah berpengalaman menangani wabak seperti Polio, Ebola, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Infuenza A (H1N1), nipah dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV), virus zika dan sebagainya.

“Kami akan menerbitkan satu senarai laporan berita palsu kerana terlalu banyak berita palsu.

“Tidak ada apa-apa yang kami ingin sembunyikan.

“Rakyat perlu ambil maklumat daripada sumber Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan KKM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di kaunter menempatkan mesin pengimbas terma suhu badan dikendalikan pegawai kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli dan Pegawai Kesihatan KLIA & klia2 Dr Harishah Talib.

Dr Dzulkefly berkata, berdasarkan pengalaman diperakui global, pihak KKM sentiasa memantau dan menggerakkan jentera agensi itu di semua pintu masuk ke negara ini.

“Kami sentiasa high alert (meletakkan kepekaan tinggi) berhubung perkara ini (2019-nCoV),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 3:49 PM