DR. Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada majlis Pelancaran Perluasan Skim Perlindungan Masyarakat mySalam di Kementerian Kewangan. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
DR. Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada majlis Pelancaran Perluasan Skim Perlindungan Masyarakat mySalam di Kementerian Kewangan. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Amir Abd Hamid


KES positif koronavirus baharu (2019-nCoV) yang dilaporkan di negara ini sehingga semalam masih kekal 18 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan 18 pesakit berkenaan tiada yang kritikal.

"Tiada kes positif 2019-nCoV dilaporkan hari ini ( semalam). Kekal 18 kes iaitu 12 warga China dan enam rakyat tempatan," katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Malaysia, di Putrajaya, tadi.

Terdahulu beliau mengadakan sidang video bersama rakan sejawatnya Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong.

Mengenai sidang video berkenaan, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya bersama Singapura bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan untuk memastikan penularan 2019-nCoV dapat ditangani secara berkesan.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan diterajui oleh Timbalannya, Dr Lee Boon Chye serta rakan sejawatnya di Singapura.

Katanya, selain itu pegawai kanan dari negara ini dan Singapura akan bekerjasama dengan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenalpasti terma rujukan bagi jawatankuasa berkenaan.

"Antara fokus kerjasama dua hala berkenaan termasuklah saringan dan pengurusan kes rentas sempadan antara kedua-dua negara serta penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat antiviral kepada pesakit yang disahkan positif 2019-nCoV.

"Selain itu kita juga akan mengenalpasti pegawai yang bertanggungjawab di kedua-dua kementerian yang bertujuan untuk berkomunikasi mengenai pengurusan kes 2019-nCoV serta pengesanan kontak rapat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:57 PM