Orang ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
Orang ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum mengesahkan lima kes Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Koronavirus Baharu (2019-nCoV).

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, lima kes itu adalah dua kes di Langkawi, dua kes di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan satu kes di Hospital Bintulu.

Beliau berkata, KKM masih menunggu hasil keputusan ujian bagi lima kes pesakit yang mempunyai simptom virus berkenaan.

“Ujian makmal sehingga pagi tadi belum dapat mengesahkan sampel bagi lima kes berkenaan yang semuanya membabitkan warga China.

“KKM sudah menguji sampel bagi 38 kes PUI yang direkodkan iaitu membabitkan 18 warga Malaysia, 19 warga China dan satu warga Jordan.

“Jumlah itu ialah ujian sejak 10 Januari sehingga 10 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di kaunter menempatkan mesin pengimbas terma suhu badan dikendalikan pegawai kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli dan Pegawai Kesihatan KLIA & klia2 Dr Harishah Talib.

Setakat ini, kes positif koronavirus baharu di Malaysia kekal empat.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, tiada pelancong dari Wuhan, China yang masuk ke Malaysia sejak 23 Januari lalu.

Beliau berkata, pada tarikh sama pihak berkuasa China mengisytiharkan ‘lockdown’ dan menghalang penduduk di Wuhan meninggalkan kawasan berkenaan berikutan wabak 2019-nCoV.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 2:57 PM