ANTARA PATI Kemboja yang ditahan. FOTO Ihsan Imigresen.
ANTARA PATI Kemboja yang ditahan. FOTO Ihsan Imigresen.
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Kemboja termasuk lapan kanak-kanak, ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah dan kilang di Kuala Langat dan Sepang, Selangor.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, mereka ditahan dalam operasi bersepadu oleh 18 pegawai dan anggota bermula 10 pagi hingga 3 petang semalam.

“Ketika serbuan pertama di kediaman itu, kebanyakan PATI sedang leka menjahit pakaian, manakala serbuan di kilang pula mendapati kebanyakan warga asing yang diperiksa mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) sah.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 30 warga asing, kami menahan 21 PATI warga Kemboja membabitkan tujuh lelaki, enam wanita, enam kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan berusia antara satu tahun hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut dan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

“Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.

“Siasatan juga akan tertumpu kepada majikan yang menggajikan PATI dan pemilik premis itu. Sekiranya terbukti bersalah, majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 11:29 AM