ANTARA warga asing diperiksa dalam operasi dilakukan JIM Selangor bersama JPN Selangor di kawasan kediaman di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, awal pagi hari ini. FOTO ihsan JIM Selangor.
ANTARA warga asing diperiksa dalam operasi dilakukan JIM Selangor bersama JPN Selangor di kawasan kediaman di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, awal pagi hari ini. FOTO ihsan JIM Selangor.
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBA lari melalui bumbung dan bersembunyi dalam siling rumah. Itu antara tindakan dilakukan seorang wanita dan lelaki warga asing diri ketika serbuan di kawasan kediaman di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, cubaan mereka untuk melarikan diri gagal selepas 73 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bersama lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor sudah mengepung lokasi berkenaan dalam serbuan 1 pagi itu.

Pengarah JIM Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 152 warga asing, 55 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah warga Indonesia membabitkan 24 lelaki, 24 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara 10 bulan hingga 58 tahun.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang wanita warga asing cuba melarikan diri melalui bumbung, manakala seorang lelaki dikesan bersembunyi dalam siling rumah.

“Namun, cubaan kedua-dua pendatang asing tanpa izin (Pati) berkenaan tidak berjaya dan ditahan pegawai dan anggota bertugas. Kebanyakan Pati sedang tidur ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, sebahagian besar warga asing yang tinggal di penempatan itu mempunyai status taraf pemastautin tetap, pas lawatan sosial jangka panjang, isteri atau suami kepada warganegara dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) sah.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut. Mereka akan direman selama 14 hari mengikut 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

“Kesalahan dilakukan mereka adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan akan tertumpu kepada pemilik premis yang melindungi dan membenarkan Pati berada di premis mereka.

Menurutnya, sekiranya terdapat bukti, pemilik premis akan turut dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, JIM Selangor sentiasa komited untuk terus memantau dan menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung gejala Pati dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:58 PM