ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Operasi Dandan di enam premis gunting rambut di Subang Jaya, semalam. FOTO ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Operasi Dandan di enam premis gunting rambut di Subang Jaya, semalam. FOTO ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Menyamar sebagai pelanggan adalah antara helah digunakan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) bekerja sebagai tukang gunting ditahan dalam Operasi Dandan yang menumpukan premis gunting rambut di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi bermula jam 2 petang hingga 7.30 malam itu dilaksanakan 11 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai 11 warga asing diperiksa dengan lima daripadanya ditahan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang lelaki bersembunyi di dalam tandas premis yang diserbu dan mendakwa dia adalah pelanggan dan bukannya pekerja.

"Bagaimanapun, itu adalah helah semata-mata kerana dia adalah pekerja yang melarikan diri dengan bersembunyi di dalam tandas sebaik serbuan dilakukan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warga India serta seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 47 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, siasatan awal juga mendapati ada dalam kalangan warga asing terbabit menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dengan sektor berlainan dari sektor pekerjaan yang dibenarkan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

"Kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas diberikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung Pati terbabit dan sekiranya terbukti akan turut dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah.

"Dalam operasi ini, semua pegawai dan anggota operasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19 semasa melakukan pemeriksaan. "Kesemua PATI yang ditahan juga dibawa ke klinik kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum di tempatkan di depot tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 4:01 PM