SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM.
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM.
Nur Lela Zulkipli


TINDAKAN pendatang asing tanpa izin (PATI) memanjat siling tandas dan stor untuk bersembunyi hanya sia-sia apabila dikesan anggota penguat kuasa dalam Ops Bersepadu di kilang di Shah Alam.

Dalam operasi bermula 4.30 petang hingga 8.30 malam, semalam, seramai 127 individu ditahan termasuk lelaki dan wanita dari enam negara iaitu Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan.

Antara kesalahan utama dilakukan PATI itu, tidak memiliki sebarang pas dan permit yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, daripada jumlah berkenaan, tujuh lelaki dari Bangladesh; Indonesia (sembilan lelaki, 84 wanita); Myanmar (seorang lelaki, tujuh wanita); Nepal (dua lelaki); India (15 lelaki, seorang wanita); dan seorang lelaki dari Pakistan.

Individu yang ditahan berumur antara 20 hingga 45 tahun.

“Operasi kali ini tertumpu di tiga kilang di Shah Alam dan kita memeriksa 180 warga asing dengan 127 PATI ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 17 pegawai termasuk lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

“Dalam serbuan sama, JPN menahan dua wanita kerana memiliki MyKad yang meragukan. Kita juga menumpu siasatan terhadap majikan yang menggajikan PATI,” katanya.

Kesemua tahanan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JIM Selangor untuk siasatan lanjut, manakala dua wanita miliki MyKad meragukan dibawa ke JPN Selangor.

Mereka direman selama 14 hari ditempatkan di di Depot Imigresen Semenyih mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dengan siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Selain itu, siasatan juga mengikut peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:29 PM