WANITA pura-pura pengsan untuk meraih simpati bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah restoran di Puchong, semalam. FOTO Ihsan JIM Selangor
WANITA pura-pura pengsan untuk meraih simpati bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah restoran di Puchong, semalam. FOTO Ihsan JIM Selangor
Nurul Hidayah Bahaudin

HELAH seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita yang berpura-pura pengsan untuk meraih simpati bagi mengelak ditahan tidak berjaya apabila dia ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah restoran di Puchong, Selangor, semalam.

Wanita warga Thailand berusia 38 tahun itu antara 32 PATI ditahan dalam operasi dilakukan 12 pegawai JIM Selangor bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam di lapan restoran di Bangi, Kajang, Puchong dan Petaling Jaya, Selangor.

Pengarah JIM Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam operasi itu, seramai 75 warga asing diperiksa dan 32 daripadanya ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Ketika serbuan dilakukan, ada antara PATI cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang premis. Malah, ada seorang PATI wanita berpura-pura pengsan sebagai cubaan mendapatkan simpati, namun taktik itu tidak mengaburi pasukan operasi yang berjaya menahan mereka.

“PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia , Bangladesh, Myanmar, Nepal, India, Pakistan, Kemboja dan Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dilakukan mendapati kebanyakan PATI itu didapati melanggar syarat pas yang diberikan dengan bekerja di sektor berbeza daripada Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan bekerja dengan pas lawatan sosial.

“Semua PATI ditahan dalam operasi ini dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih. Kesalahan yang dilakukan PATI berkenaan adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas diberikan.

Beliau berkata, siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang menggajikan PATI dan jika terdapat bukti, majikan turut dikenakan tindakan undang-undang.

“JIM Selangor sentiasa komited untuk terus memantau dan menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung gejala PATI dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 2:27 PM