GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Balqis Jazimah Zahari


SALAKAN anjing bertalu-talu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di sebuah flat di Sungai Pari, Buntong, Ipoh malam tadi.

Penduduk, R Hemalatha, 43, berkata, ada penduduk yang melalui kawasan itu berasa hairan kerana seekor anjing putih menyalak dan berulang-alik ke arah flat usang itu pada jam 8 malam tadi.

"Anjing menyalak bertalu-talu seolah-olah ingin memberitahu mengenai mayat yang berada di situ.

"Selepas penduduk mengekori anjing itu, dia menjumpai mayat seorang lelaki terbaring dan terus bertindak menghubungi polis," katanya.

Katanya, penduduk memang tidak mengenali mangsa walaupun mereka sudah lama tinggal di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat dipercayai berusia 50 tahun itu pada 9 malam.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah bengkak dan berulat.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran melainkan kesan mayat membengkak," katanya.

Beliau berkata, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan setakat kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR)

"Dompet mangsa serta kad Orang Kelainan Upaya (OKU) mental, ditemui berhampirannya," katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 11:08 AM