Mayat dua kanak-kanak Syria di  klinik sementara sebelum dikebumikan. - AFP
Mayat dua kanak-kanak Syria di klinik sementara sebelum dikebumikan. - AFP

Beirut: Menjelang hari-hari terakhir sebelum tentera Syria menawan Ghouta, bandar dalam wilayah itu dihujani serangan udara bertalu-talu menyebabkan puluhan orang awam terbunuh.

Ribuan penduduk Ghouta tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah itu masuk ke wilayah dikuasai rejim Presiden Bashar al-Assad.

Reuters melaporkan, agensi kebajikan kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF, sudah membuat persiapan untuk menempatkan 50,000 kanak-kanak yang keluar dari Ghouta.

Serangan udara bertalu-talu semalam, menyasarkan kawasan masih dikuasai penentang iaitu di Saqba.

Menurut laporan AFP, pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menyatakan serangan udara oleh jet penggempur Russia itu menyebabkan sekurang-kurangnya 42 terbunuh di Saqba dan Kfar Batna.

Pengarah pertubuhan berpangkalan Britain, Rami Abdulrahman, berkata lebih 100 orang cedera.

“Ada mayat yang hangus sama sekali,” katanya.

Lebih 1,220 orang awam dengan satu perlima daripadanya adalah kanak-kanak, terbunuh sejak Syria dengan bantuan Russia melancarkan serangan besar-besaran terhadap Ghouta pada 18 Februari lalu.

Kementerian Luar Russia menyatakan lebih 12,000 penduduk Ghouta meninggalkan wilayah itu, dengan 2,000 berbuat demikian semalam. Namun angka berkenaan tidak dapat disahkan.

Sementara itu di satu lagi medan pertempuran, AFP melaporkan, bedilan artileri tentera Turki terhadap Afrin menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang awam terbunuh.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, bedilan tentera Turki sejak tengah malam kelmarin menyebabkan lima kanak-kanak turut maut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:45 AM