SERANGAN udara  oleh tentera Syria dan sekutunya Russia sejak dua hari lalu. FOTO Agensi
SERANGAN udara oleh tentera Syria dan sekutunya Russia sejak dua hari lalu. FOTO Agensi
Agensi

KAFR HALAB, SYRIA: Sembilan kanak-kanak antara 27 orang awam yang terbunuh akibat serangan terbaru tentera kerajaan Syria terhadap Idlib, kedudukan terakhir pemberontak yang dibom bertalu-talu sejak bulan lalu.

Serangan udara dan bedilan meriam tanpa henti oleh tentera Syria dan sekutunya Russia sejak dua hari lalu, turut mengenai hospital.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Syria di London, lebih 31 orang awam terbunuh sejak Ahad lalu dan serangan terbaru semalam, mengenai jalan raya di perkampungan Kafr Halab di selatan wilayah Aleppo yang sibuk, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang awam.

Menurut jurugambar AFP, mayat mangsa berkecai dan banyak kedai di sepanjang jalan berkenaan musnah.

Serangan berlaku ketika orang ramai sibuk membuat persiapan untuk berbuka puasa. Bedilan meriam turut mengenai sebuah hospital di Kafranbel, Idlib, menyebabkan hospital berkenaan berhenti beroperasi sepenuhnya.

Idlib serta sebahagian kawasan dalam wilayah Aleppo, Hama dan Latakia dikuasai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham diketuai bekas pemimpin sekutu Al-Qaeda.

Wilayah terbabit sepatutnya bebas daripada serangan kerajaan berikutan ia menjadi kawasan penempatan semula pemberontak dari wilayah lain melalui perjanjian kedua-dua pihak.

Namun, rejim Presiden Bashar al-Assad dan Russia mengabaikan perjanjian itu apabila mengepung Idlib awal tahun ini, sebelum membedilnya mulai April lalu, yang mengorbankan hampir 280 orang awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran serangan berterusan di wilayah itu akan menyebabkan krisis kemanusiaan membabitkan hampir tiga juta orang.

Menurut PBB, kira-kira 270,000 orang sudah menjadi pelarian manakala agensi bantuan terpaksa memberhentikan operasi di beberapa kawasan berikutan serangan bertalu-talu. Sejak April lalu, 22 hospital dan klinik terkena bedilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:49 AM