Orang ramai boleh membuat semakan dalam talian apabila portal semakan dan permohonan bagi WTD dijangka dapat diakses akhir tahun ini atau awal tahun depan. FOTO Arkib NSTP
Orang ramai boleh membuat semakan dalam talian apabila portal semakan dan permohonan bagi WTD dijangka dapat diakses akhir tahun ini atau awal tahun depan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


PORTAL semakan dan permohonan dalam talian khusus bagi urusan Wang Tidak Dituntut (WTD) dijangka dapat diakses orang awam sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) kini dalam peringkat menjalankan ujian akses dan kesesakan kepada portal berkenaan bagi mengelak sebarang masalah sekiranya ia dibuka kepada orang awam kelak.

“Data lengkap sudah pun dimasukkan ke dalam portal itu dan sekarang kita sedang jalankan ujian akses dan kesesakan.

“Kami berharap portal semakan WTD ini dapat memudahkan rakyat untuk mendapat maklumat mengenai jumlah wang tidak dituntut yang mereka ada,” katanya.

Amiruddin berkata, setakat 31 Oktober lalu, jumlah serahan wang daripada pelbagai entiti kepada JANM adalah RM10.8 bilion manakala jumlah bayaran balik pula RM2.085 bilion.

“Jumlah terkini WTD adalah RM6.9 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:01 PM