Kuala Lumpur: Pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melakukan penipuan serta penyelewengan wang hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) belum dikenakan tindakan undang-undang biarpun laporan polis sudah dibuat pada Mac 2011.

Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri ketiga 2013 yang dibentangkan di Parlimen, semalam, mendapati pegawai kerajaan berkenaan masih ‘bebas’ tanpa sebarang tindakan,

“Pegawai berkenaan bertanggungjawab dalam penipuan serta kehilangan Wang Tidak Dituntut (WTD) yang dilakukannya antara 27 Ogos hingga 21 Disember 2010 membabitkan jumlah RM995,031.

“Selain itu, audit melihat keseluruhan pengurusan WTD dilaksanakan Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti (BPAS) JANM kurang memuaskan khususnya membabitkan aktiviti penguatkuasaan serta pengurusan pembayaran balik,” katanya.

Menerusi laporan berkenaan, penguatkuasaan WTD yang kurang berkesan boleh mengakibatkan kerajaan kehilangan kos lepas bagi mendapatkan faedah simpanan kerana kegagalan serahan WTD yang sepatutnya diserahkan oleh entiti dan juga kutipan denda atau kompaun kerana kegagalan serahan berkenaan.

Memetik LKAN yang dikeluarkan semalam berkata, kelemahan sistem kawalan dalaman bayaran balik WTD pula boleh mengakibatkan berlakunya ‘pembayaran tidak betul’ dan audit berjaya mengenal pasti kelemahan antaranya Penguatkuasaan Akta WTD 1965 dan kelemahan sistem kawalan dalaman.

Sementara itu, berdasarkan maklum balas JANM yang diterima pada 8 September lalu mendedahkan kebanyakan entiti sudah membuat serahan mengikut tempoh ditetapkan, namun disebabkan ‘masa puncak’, dokumen serahan yang diterima perlu disemak untuk memastikan ketepatannya.

Menurutnya, jumlah rekod yang diterima pada 2010 sehingga 2012 adalah sebanyak 5,761,636 rekod dan ada entiti yang sudah memohon penangguhan disebabkan masalah teknikal sekali gus mengakibatkan serahan tidak dapat dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:15 AM