MEOR Razak (tengah) pada sidang media berhubung isu gangguan lalat di Segari di Pejabat JPV Perak di Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MEOR Razak (tengah) pada sidang media berhubung isu gangguan lalat di Segari di Pejabat JPV Perak di Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


LEBIH 500 penduduk di empat kampung di Segari, Lumut, mendesak kerajaan negeri supaya segera bertindak menyelesaikan isu gangguan lalat yang membelenggu penduduk sejak lebih 20 tahun lalu.

Difahamkan, masalah berlarutan sekian lama itu didakwa berpunca daripada perusahaan menternak ayam berdekatan kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Semangat, Zubaidah Zakaria, 49, berkata, mereka berasa kesal kerana tindakan diambil sebelum ini dilihat seakan-akan acuh tidak acuh sahaja.

“Kalau hendak diikutkan lebih 20 tahun masalah tidak pernah berkurangan sedangkan sudah banyak kali aduan dilakukan dan ia seperti tidak nampak jalan penyelesaian.

“Kalau selepas ini masalah ini tidak selesai, kami (penduduk) akan cari peguam dan hendak saman saja pihak tertentu termasuk pemilik ayam berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rakan Gabungan Segari menyerahkan aduan mengenai permasalahan itu di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak di Ipoh, hari ini.

Zubaidah berkata, dia yang menjalankan perniagaan nasi lemak sudah tidak tahan lagi mendengar aduan daripada pelanggan mengenai masalah lalat itu dan situasi itu menjadi sebab pelanggan menganggap kedainya kotor.

“Ada pelanggan berpatah balik kerana mengatakan kedai saya kotor.

“Malah, ada pelanggan yang datang mengadu sakit perut dan mengatakan selepas pergi ke klinik, doktor mengesahkan ia berpunca daripada lalat,” katanya

Penduduk Batu 10, Mazeli Md Desa, 44, berkata, dia sekeluarga sudah tidak tahan dengan masalah gangguan lalat berikutan rumahnya antara paling hampir iaitu 100 meter dari ladang ayam berkenaan.

“Tiada tindakan serius dan tindakan hanya bersifat sementara, mereka (pihak berwajib) hanya datang buat pemantauan dan panggil kami semua membuat perbincangan dan buat semburan asap.

“Gangguan lalat siang dan malam, kena sentiasa tutup lampu dan pintu tidak boleh dibuka, hendak tidur tidak boleh dan terpaksa makan dalam kelambu,” katanya.

Sementara itu, Wakil Gabungan NGO Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihaknya menggesa JPV Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengambil tindakan segera mengikut peruntukan sedia ada bagi menangani isu itu.

Beliau berkata, pada 4 Julai lalu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung sudah mengadakan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Tindakan isu gangguan lalat dari perusahaan ayam dipengerusikan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

“Mesyuarat memutuskan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pihak menyebabkan punca berlakunya masalah itu.

“Namun, amat mendukacitakan apabila sehingga kini isu dan masalah itu masih berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:13 PM