GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mengeluarkan kompaun kepada sebuah ladang ternakan ayam yang dikenal pasti menjadi punca kacau ganggu lalat di Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul, Beruas, di sini.

Pengarahnya Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, pemilik ladang ternakan secara terbuka berkenaan dikompaun RM2,000 atas kegagalan menguruskan tinja ayam dengan berkesan sehingga premis menjadi tempat pembiakan lalat.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan notis gantung sementara beroperasi kepada pemilik.

"Pemilik juga diarahkan untuk mengambil semua tindakan penambahbaikan yang dikenal pasti menjadi punca masalah itu.

"Ladang akan diberi pertimbangan untuk beroperasi semula seleps JPV Perak berpuas hati dengan semua tindakan sudah diambil seperti dinyatakan dalam notis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kawasan Beruas mempunyai empat ladang ternakan ayam, tetapi hanya sebuah ladang bermasalah.

Pada 29 Julai lalu media melaporkan, 800 penduduk Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul, di sini, hidup dalam keadaan tidak selesa akibat gangguan lalat.

Masalah lalat itu dipercayai berpunca daripada reban ternakan ayam secara terbuka kira-kira 800 meter dengan penempatan penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 3:32 PM