Sebahagian ayam yang di ternak di ladang terbuka di Sungai Limau, Trong. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Sebahagian ayam yang di ternak di ladang terbuka di Sungai Limau, Trong. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak bercadang meningkatkan kadar kompaun terhadap pengusaha ternakan ayam yang didapati ingkar dan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, pihaknya akan menaikkan kadar kompaun dari RM2,000 kepada RM20,000 selepas kompaun sedia ada gagal menyelesaikan isu lalat dan bau busuk.

Menurutnya, kenaikan kompaun sebanyak 10 kali ganda daripada nilai kompaun asal diharap dapat memberi pengajaran kepada pengusaha selain memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap isu pencemaran dan ketenteraman awam di kawasan sekitar.

"Enakmen Perladangan Unggas 2005 dan Peraturan-Peraturan Pengawalan Perladangan Unggas (Lesen) 2010 dengan jumlah kompaun bernilai RM2,000 perlu disemak semula kerana nilai itu rendah dan mampu dibayar oleh pengusaha.

"Ia juga tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah dibangkitkan khususnya pencemaran bau, lalat dan sebagainya.

"Justeru JPV Perak mencadangkan kadar kompaun perlu dinaikkan sekitar RM20,000 bagi memberi peringatan kepada pengusaha agar lebih bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat ladang ternakan ayam terbuka di Sungai Limau, Trong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.

Menurutnya, setakat ini cadangan menaikkan kadar kompaun itu perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibincangkam sebelum kata putus dibuat.

Menurutnya, terdapat lebih 400 ladang ternakan ayam berlesen di negeri ini, namun hanya 16 peratus diusahakan secara tertutup manakala selebihnya dilakukan secara ladang terbuka.

"Di Perak kita kini ke arah menggalakkan pengusaha agar mengusahakan ladang ternakan ayam secara tertutup bagi mengatasi sebarang masalah seperti lalat dan ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, nilai kompaun lebih tinggi adalah cadangan munasabah sekali gus dapat memberikan peringatan atau pengajaran kepada penternak supaya lebih peka terhadap masalah yang timbul

"Jika kompaun asal sebelum ini, mereka (penternak) boleh bayar maka dengan nilai kompaun lebih tinggi diharap dapat memberi pengajaran kepada mereka.

"Kita bukan hendak menghukum, tetapi mahu memastikan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan dan sentiasa mengutamakan soal kebersihan dan ketenteraman penduduk sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 3:55 PM