REMAJA terbabit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
REMAJA terbabit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN seorang pelajar Tingkatan Tiga yang memandu kereta lebih 30 kilometer dari Kuala Nerang ke Jitra tanpa memiliki lesen memandu yang sah ternyata membawa padah apabila dia ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Taman Tunku Maheran, di Jitra, malam tadi.

Remaja berusia 15 tahun itu dikatakan memandu kereta Proton Waja dipercayai milik keluarganya dari kawasan Kuala Nerang sejauh menuju ke pekan ini sambil membawa tiga remaja berusia belasan tahun dipercayai sepupu dan rakannya untuk membeli barang.

Remaja ditahan jam 11.30 malam dalam operasi yang bermula dari jam 8.30 malam itu dan hasil pemeriksaan anggota JPJ mendapati remaja itu mengaku tidak memiliki lesen memandu dan kesalahannya itu menyebabkan dia disaman untuk tindakan lanjut.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, remaja itu disaman mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah umur.

“Selain itu pemilik kenderaan itu juga turut disaman mengikut seksyen sama kerana membenarkan remaja itu memandu tanpa lesen.

"Berikutan itu, remaja itu dibenarkan pulang dan rakannya yang mempunyai lesen pula terpaksa menuntut kereta berkenaan untuk dipandu pulang ke Kuala Nerang.

"Selain itu, dalam operasi ini, dua lelaki berusia 30-an ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan diserahkan kepada pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 480 kenderaan diperiksa dan kebanyakannya adalah motosikal.

“Daripada jumlah itu sebanyak 93 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutamanya tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Daripada jumlah itu juga, sebanyak empat kenderaan disita iaitu sebuah lori, sebuah kereta dan dua motosikal kerana melakukan kesalahan iaitu cukai tamat tempoh serta tidak memiliki perlindungan insuran melebihi tiga bulan," katanya.

Operasi berkenaan juga turut membabitkan anggota AADK, polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah yang berjumlah 113 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 1:50 AM