LOKMAN. FOTO BERNAMA
LOKMAN. FOTO BERNAMA
Asrol Awang

Kuantan: Seramai 14 pemandu kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dikesan menggunakan bahan terlarang di seluruh negara sepanjang 21 hari Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2024.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, mereka yang ditahan itu disyaki menggunakan bahan terlarang seperti syabu, methamphetamine dan tetra hydrocannibol (THC).

Menurutnya, pemandu KPA itu ditahan di terminal bas sebelum kenderaan awam itu bergerak ke destinasi masing-masing.

"Ia hasil daripada pemeriksaan dilakukan JPJ yang berkolaborasi dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Bagi tindakan selanjutnya, JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan mengikut Akta 715.

"JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan mengikut Seksyen 36 Akta 333 selepas pengesahan lanjutan diperoleh daripada AADK," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lokman berkata demikian selepas Ops Motosikal, KPA dan Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) di pintu gerbang Gambang di sini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang Kamarul Iskandar.

Ops itu turut membabitkan kolaborasi akan strategik iaitu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan AADK.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 21,705 KPA diperiksa dan daripada jumlah itu, 32 KPA disita.

Katanya, sebanyak 1,181 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu teknikal, tiada lesen vokasional, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada insurans dan LKM.

"Kesalahan utama yang dilakukan pula memotong di garisan berkembar, langgar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit dan memandu di lorong kanan secara berterusan," katanya.

Dalam kes terbabit, Lokman berkata, JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu yang masih melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:08 PM