Anthony ketika sidang media selepas majlis perasmian Pejabat Cawangan MyCar Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. Foto Hasriyasyah Sabudin
Anthony ketika sidang media selepas majlis perasmian Pejabat Cawangan MyCar Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. Foto Hasriyasyah Sabudin
Mohd Amin Jalil


KEMENTERIAN Pengangkutan memberi amaran kepada institut memandu supaya tidak melangkaui batasan undang-undang dengan meminta wang daripada pemandu bagi meluluskan ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) atau lesen kenderaan perdagangan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mereka di mahkamah jika menemui bukti kukuh terhadap kegiatan itu.

“Saya beri amaran kepada institut memandu supaya tidak mencabar kesabaran kementerian kerana jika mereka didapati melakukan perbuatan meminta wang untuk luluskan PSV atau menawarkan jaminan bagi kelulusan ujian itu.

“Kementerian ambil pendekatan serius dalam perkara ini dan sudah melantik pegawai untuk memantau semua institut memandu.

“Jika mempunyai bukti, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik lesen mereka.

“Saya mengucapkan syabas kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jika benar ada kalangan pegawai atau kakitangan institut memandu yang ditahan untuk membantu siasatan berkaitan perkara berkenaan,” katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian Pejabat Cawangan MyCar Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan berlaku kegiatan meminta sogokan oleh institut memandu.

Turut hadir Pengarah Platform Apps Sdn Bhd Mohd Noah Maideen.

Kerajaan sudah menetapkan bahawa semua pemandu perlu memenuhi syarat ditetapkan untuk meneruskan operasi termasuk memiliki PSV.

Kelonggaran turut diberikan kepada mereka untuk menguruskannya apabila tempoh syarat itu dilanjutkan tiga bulan lagi bermula 12 Julai lalu, sebelum tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dilakukan oleh kementerian berkenaan.

Mengenai kegiatan ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, beliau berkata, pihaknya sedar kegiatan berkenaan dan akan terus memantau.

“Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terus berjalan dan jika ada bukti mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku kenaikan kadar tambang pula perkhidmatan e-hailing, menurut beliau, pengguna mempunyai pilihan sendiri dan perlu bijak memilih syarikat yang menawarkan kadar rendah.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, ketika ini terdapat 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang berdaftar dan menawarkan perkhidmatan.

“Saya ada terima aduan mengenai kadar tambang dan pengguna mempunyai pilihan sendiri untuk memilih syarikat mana yang menawarkan kadar rendah.

“Matlamat kita mahukan industri ini bersaing dengan sihat dan tidak mahu mana-mana syarikat memonopoli sesuatu industri. Orang ramai kena buat pilihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 9:05 PM