CALON yang mengikuti kursus PSV di Safety Driving Centre, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Sharul Nazri Zulkifli Chow
CALON yang mengikuti kursus PSV di Safety Driving Centre, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Sharul Nazri Zulkifli Chow
Nurul Hidayah Bahaudin dan Sharul Nazri Zulkifli Chow


PENYERTAAN kursus sistem pendaftaran permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pemandu e-hailing yang mula mendaftarkan di pusat latihan memandu sejak pengumuman mewajibkan mereka mengambil lesen itu diumumkan 1 April lalu.

Pengarah Operasi Safety Driving Centre, C T Kumar berkata, pihaknya menerima pendaftaran daripada 250 pemandu e-hailing termasuk kira-kira 20 wanita.

“Sebaik diumumkan pada 1 April lalu, kami sudah menerima pendaftaran daripada pemandu e-hailing dengan jumlah terkini sehingga semalam, seramai 250 calon.

“Daripada jumlah itu, 99 calon mengambil kursus enam jam pada kelas pertama hari ini, yang dibahagikan kepada dua kumpulan merangkumi kira-kira 50 calon bagi setiap kelas yang bermula jam 9 pagi,” katanya ketika ditemui di pusat latihan itu, hari ini.

Kumar berkata, terdapat beberapa syarat perlu diikuti bagi membolehkan individu memohon lesen berkenaan termasuk had umur perlu melebihi 21 tahun, lulus pemeriksaan kesihatan serta tidak memiliki saman tertunggak.

“Calon perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen memandu dan resit pembayaran pemeriksaan kesihatan yang dilakukan mereka. Sebaik dokumen berkenaan diterima, ia akan mengambil masa kira-kira 10 hari untuk diproses termasuk menyemak menerusi sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada calon terbabit disenarai hitam atau mempunyai saman tertunggak.

“Selepas proses tapisan itu, mereka akan dimaklumkan mengenai tarikh menghadiri kelas selama enam jam sebelum mengikuti ujian bertulis bagi mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan harga RM159 kepada calon bagi mengikuti kursus berkenaan termasuk buku teks bagi menghadapi ujian bertulis.

“JPJ menetapkan kadar yuran siling bagi mengikuti kursus berkenaan ialah RM200, namun kami mengambil inisiatif menawarkan kadar lebih rendah,” katanya.

Sebelum ini, JPJ menerusi kenyataan memaklumkan pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing yang memenuhi syarat memohon lesen PSV boleh mendaftar di institut memandu dan pusat latihan memandu yang diiktiraf JPJ bermula 1 April lalu.

Kenyataan itu memaklumkan modul latihan PSV terbabit ialah selama enam jam.

Pelaksanaan itu membabitkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:21 PM