BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan AirAsia secara rasmi membuat permohonan bertulis kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kementerian berkenaan supaya mempertimbangkan permintaannya untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai hab penerbangan tambang rendah serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata, syarikat penerbangan itu bersedia bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi manfaat industri penerbangan tempatan dan rakyat Malaysia.

Susulan beberapa salah faham yang timbul berhubung isu itu baru-baru ini, beliau berkata, AirAsia mahu menjelaskan beberapa perkara berkenaan kempen berterusannya untuk menjadikan klia2 sebagai hab penerbangan tambang rendah (LCC) di rantau ini.

Beliau berkata, AirAsia tidak berhasrat mengubah kod rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang telah berdaftar dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sebagai ‘KUL’.

“Untuk rekod, apabila AirAsia beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCC) (klia2), kod lapangan terbang itu juga adalah ‘KUL’. Terminal lapangan terbang itu bagaimanapun dinamakan Terminal LCC iaitu Terminal Penerbangan Tambang Rendah.

“Kami berharap dapat mula menamakan terminal lapangan terbang itu sebagai LCCT2 yang juga identiti sebenar terminal berkenaan. Ini disebabkan MAHB enggan menerima lapangan terbang itu adalah untuk penerbangan tambang rendah,” katanya.

Aireen berkata, walaupun MAHB menjelaskan bahawa Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA dan klia2 akan menjadi sebahagian daripada hab bersepadu, tiada bukti sokongan terhadap kenyataan itu.

“Hab bersepadu sepatutnya turut termasuk kesalinghubungan yang lancar antara terminal untuk menggalakkan penumpang saling berhubung selain melonjakkan perjalanan bagi perkhidmatan penuh dan penerbangan tambang rendah.

“Bagaimanapun, kekurangan tren pengantara dan bas yang menghubungkan MTB kepada klia2 jelas menunjukkan terminal itu bukan sebahagian daripada hab bersepadu. Penumpang dikenakan bayaran RM2 sehala bagi menggunakan satu-satunya tren yang menghubungkan kedua-dua terminal itu yang beroperasi dengan jadual tidak menentu,” katanya.

Syarikat itu turut mencadangkan MAHB menumpukan kepada strategi dwi-hab. MTB KLIA boleh diterajui syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines yang disokong pakatan One World manakala klia2 boleh dijadikan hab penerbangan tambang rendah rantau ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 10:03 AM