FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 16,338 calon menduduki ujian teori PSV untuk teksi dan e-hailing dan 10,151 daripada jumlah itu lulus serta layak memohon lesen berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, secara rumusan, 62 peratus lulus ujian dan layak dilesenkan bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun lalu

Katanya, tahap penilaian soalan yang dibangunkan sudah diuji dan dinilai terlebih dulu supaya menepati suatu pencapaian kompetensi bagi seseorang yang ingin dilesenkan dengan Lesen Vokasional PSV Teksi atau e-hailing.

Katanya, bermula 1 April 2019, pemohon Lesen Vokasional PSV berkenaan perlu menghadiri kursus teori selama enam enam jam di pusat Iatihan memandu yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menduduki ujian teori sebanyak 60 soalan.

“Soalan ujian teori bagi Lesen Vokasional dibangunkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Modul Latihan Baharu Pemandu Teksi dan E-Hailing yang terdiri daripada agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan pakar akademik dari Universiti Awam Malaysia,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN -Padang Terap) mengenai langkah mitigasi yang diambil Kementerian Pengangkutan susulan kenyataan Persatuan Pemandu Grab Malaysia bahawa hanya 10 hingga 50 peratus pemandu lulus dalam setiap kelas seperti laporan media Mei lalu.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai perbezaan kadar tambang berikutan caj untuk menduduki ujian, beliau berkata, tiada harga siling untuk perkhidmatan e-hailing dan ia ditentukan syarikat berdasarkan pasaran.

“Untuk bersaing dalam perkhidmatan e-hailing ini, syarikat sudah tentu perlu menawarkan tambang yang berpatutan dan kompetitif kepada penumpang mereka.

“Jadi saya tidak melihat ia akan berubah secara mendadak. Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita membuat peraturan ini maka kadar tambang akan meningkat, itu hanyalah apa yang dikatakan, tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 11:19 AM