NIE Ching melihat keadaan Irfan Wafiy ketika mengadakan lawatan di SK Taman Bukit Dahlia. FOTO Mohd Sabran Md Sani
NIE Ching melihat keadaan Irfan Wafiy ketika mengadakan lawatan di SK Taman Bukit Dahlia. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan isu kesihatan Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang menderita penyakit saraf dipercayai kesan daripada pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Mac lalu, mendapat bantuan sewajarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, menjadi tanggungjawab KPM membantu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia itu.

“KPM akan memberi segala bantuan di bawah bidang dan tanggungjawab kami.

“Kami akan membawa harapan ibu bapa Irfan Wafiy kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya dapat pastikan dia mendapat rawatan dan sembuh secepat mungkin,” katanya ketika melawat Irfan Wafiy serta ibu bapanya di SK Taman Dahlia, hari ini.

Pertemuan dua jam bermula jam 8 pagi itu susulan laporan media mengenai keadaan kesihatan Irfan Wafiy berpunca daripada pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Teo berkata, ketika ini Irfan Wafiy memerlukan dua jenis rawatan membabitkan terapi psikologi dan fisioterapi.

“Peranan saya bukan di KKM, jadi saya tidak ada maklum balas terperinci.

“Bagaimanapun, saya akan bantu membawa mesej ini dan memastikan Menteri Kesihatan dan Timbalannya tahu mengenai isu dihadapi adik Irfan Wafiy,” katanya.

Menurutnya, sekurang-kurangnya ada tindakan susulan diambil akibat kejadian menimpa kanak-kanak itu.

Menyentuh mengenai lawatan itu katanya, beliau memang berhasrat bertemu Irfan Wafiy di sekolah.

“Biasa kita (kementerian) dapat laporan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Jadi saya rasa lebih elok, kalau saya boleh datang sendiri supaya boleh ada perbincangan dengan pihak sekolah dan ibu bapanya,” katanya.

Berita berkaitan

Menteri nak jumpa keluarga Irfan [METROTV]

Irfan tiada sejarah penyakit

[UPDATE] KKM mulakan siasatan

Derita Irfan kerana toksik Sungai Kim-Kim [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 3:31 PM