IRFAN Wafiy dan ibunya bergambar selepas menerima keputusan UPSR. FOTO Ihsan Norlela Abu Hashim.
IRFAN Wafiy dan ibunya bergambar selepas menerima keputusan UPSR. FOTO Ihsan Norlela Abu Hashim.
Ibrahim Isa


DIA menghidap penyakit Myokymia dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sejak Mac lalu dan kurang ke sekolah.

Namun, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, bersyukur kerana keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diperoleh hari ini, cemerlang dan dia mencatat 6A.

“Saya tidak sangka mampu mencatat keputusan 6A kerana berdepan pelbagai masalah kesihatan dan kurang ke sekolah.

“Selepas tamat peperiksaan dulu, saya sangka hanya dapat 4A atau 5A sahaja disebabkan selalu tidak sihat.

“Tidak percaya betul apabila ibu beritahu saya mencatat 6A. Alhamdulillah saya bersyukur dan akan memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh selepas ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Irfan Wafiy berkata, dia bercita-cita menjadi pakar saraf kerana mahu merawat mereka yang senasib dengannya.

“Saya sedar bakal berdepan pelbagai cabaran selepas ini kerana masalah kaki menggeletar dan sensitif terutama pada kaki kiri.

“Namun saya akan menguatkan semangat dan menjaga diri sendiri demi capai cita-cita saya,” katanya.

Jelasnya, tiada petua khusus untuk berjaya kecuali memberikan tumpuan penuh setiap kali mengulangkaji pelajaran termasuk di rumah.

Sementara itu, ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata bersyukur dengan keputusan yang diperolehi anak keempat daripada lima beradik itu dan kini dalam proses memohon sekolah asrama penuh yang sesuai dengan keadaan anaknya.

“Memang saya bimbang keadaannya. Ikutkan hati, mahu dia kekal di rumah kerana dia sukar untuk berjalan dan naik tangga.

“Sebelum ini saya yang tolong angkatkan beg sekolahnya. Dia boleh berjalan atau naik tangga, cuma terlalu lambat dan cepat penat.

“Kami juga belikan kerusi roda dan dia lebih banyak bergerak dengan kerusi roda. Dia bersemangat untuk ke sekolah asrama, saya harap dia dapat sekolah yang baik dan mempunyai kemudahan yang mudahkan pergerakannya,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Dahlia.

Berita berkaitan

Derita Irfan kerana toksik Sungai Kim-Kim [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:07 PM