FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Irwan Shafrizan Ismail


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat siasatan dan pemeriksaan lanjut terhadap Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan menghidap Myokymia iaitu sejenis penyakit menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya akan mengenalpasti punca sebenar penyakit dihidapi Irfan termasuk sama ada kesan terdedah kepada pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

“Banyak kemungkinan punca kepada penyakit Myokymia ini kadangkala kerana tumor otak atau penyakit lain.

“Jadi kita kena kenal pasti apa punca penyakit berkenaan sebelum boleh buat sebarang rumusan. Kita akan buat siasatan dan pemeriksaan lanjut sama ada ia berkaitan (kesan pencemaran) atau tidak,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2019 di Cyberjaya, hari ini.

Irfan, anak keempat daripada lima beradik disahkan menghidap Myokymia iaitu penyakit seakan-akan Parkinson dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, Irfan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas sukar bernafas dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika sesi persekolahan.

Tidak seperti rakan-rakan lain, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu dimasukkan ke hospital lebih lama iaitu 10 hari berikutan keadaan kesihatan yang merosot setiap hari.

Sementara itu, mengulas mengenai Persidangan SDG, Dr Lee menegaskan pihaknya mensasarkan tempoh empat tahun bagi pengumpulan data rekod perubatan elektronik bagi mempertingkatkan infrastruktur sistem penyampaian kesihatan di negara ini.

“Perkembangan teknologi pesat seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, internet untuk segalanya (IoT) dan cabaran revolusi industri 4.0 menuntut kementerian merangka rang undang-undang atau peraturan bagi mengawal selia penggunaan teknologi baharu dalam perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:34 PM